Firman Tuhan: Matius 9 : 35 - 39

Pengantar

Bayangkan sebuah kapal mewah yang dipenuhi oleh penumpang dengan peranan sebagai penyelamat di lautan. Para penumpang sibuk menikmati pelbagai keseronokan dan kecanggihan kemudahan di atas kapal sehingga lupa akan tanggungjawab mereka. Ketika semua penyelamat disuruh turun ke dalam lautan besar untuk menyelamatkan orang yang ditimpa bencana di tengah lautan hanya seorang penyelamat saja yang meresponi. Padahal, kapal itu dipenuhi dengan kesemua penyelamat yang handal/mahir. Dalam dunia yang fana ini, sering kita saksikan kejadian di mana banyak anak Tuhan terjebak dalam kenikmatan hidup sementara, sehingga melupakan tanggungjawab mereka sebagai anak Tuhan untuk melayani-Nya dan di kalangan sesama di dunia ini.

Sebagai anak Tuhan, kita dapat melayani Tuhan dan sesama kerana kasih karunia Tuhan yang nyata dicurahkan di kayu salib. Tuhan menyelamatkan kita dari belenggu dosa dan Dia bangkit kembali pada hari ketiga, memberi kita hidup yang kekal. Pelayanan ini bukanlah hasil kekuatan kita sendiri, tetapi oleh kerana panggilan kasih Tuhan yang memampukan kita.

Penuaian yang berkelimpahan, sama ada buah-buahan ataupun hasil pertanian memerlukan banyak pekerja untuk memungut hasil di ladang. Jika penuaian terlambat dipungut, maka kualitinya akan menurun atau bahkan rosak serta membawa kerugian besar.

Firman Tuhan dalam perikop tentang “panggilan untuk melayani” yang dicatat dalam Kitab Injil Matius 9:35-38, memberitahukan kita bahawa begitu banyak pekerja atau pelayan Firman diperlukan untuk melayani orang ramai yang mengikut Tuhan. Secara implisit, ayat-ayat ini, menyiratkan bahawa sudah sangat banyak tuaian yang harus dituai, dikerjakan dan memerlukan banyak pekerja yang siap dan dapat melayani pemberitaan Firman-Nya dengan tulus dan ikhlas. Namun hanya sedikit penuai yang siap dan bersedia melakukannya.

Memberitakan Injil Kerajaan Syurga

Secara pasti, kita tidak tahu berapa kali Tuhan Yesus berjalan mengelilingi pelbagai kota dan desa. Boleh jadi, berulang-ulang kali.

Matius 9:35. “Demikianlah Yesus berkeliling ke semua kota dan desa; Ia mengajar dalam rumah-rumah ibadat dan memberitakan Injil Kerajaan Syurga serta melenyapkan segala penyakit dan kelemahan.”

Ayat Firman Tuhan ini menuturkan bahawa Tuhan Yesus melakukan perjalanan berkeliling ke semua kota dan desa. Dengan kasih karunia-Nya, Tuhan Yesus Kristus mengajar dalam rumah-rumah ibadat. Tuhan Yesus memberitakan Injil Kerajaan Syurga yang membawa sukacita dan damai sejahtera bagi mereka yang percaya kepada-Nya.

Lalu, dengan penuh kuasa, Tuhan Yesus menunjukkan dan menyatakan tanda-tanda dan mujizat-Nya yang sangat ajaib. Ia melenyapkan segala penyakit dan kelemahan orang ramai. Tuhan Yesus menyembuhkan segala sakit penyakit dan mengusir satan dari orang-orang yang kerasukan oleh roh jahat.

Hatinya tergerak oleh belas kasihan

Selanjutnya, mari perhatikan Matius 9:36. “Melihat orang banyak itu, tergeraklah hati Yesus oleh belas kasihan kepada mereka, karena mereka lelah dan terlantar seperti domba yang tidak bergembala.”

Ketika Tuhan Yesus melihat orang banyak yang datang beramai-ramai itu, maka tergeraklah hati Tuhan Yesus oleh belas kasihan kepada mereka. Dia melihat dan merasakan bahawa mereka kelihatan sangat lelah dan terkesan terlantar seperti domba yang tidak bergembala, kehilangan gembala dan perlu dibantu serta diselamatkan.

Sebagai Gembala Agung yang lemah lembut dan penuh belas kasihan, maka tergeraklah hati Tuhan Yesus untuk menggembalakan mereka. Dia tersentuh hati-Nya untuk memberi makan dan minum bagi yang lapar dan haus rohaninya. Dia membimbing dan membawa mereka dari kesesatan dalam dosa. Tuhan Yesus ingin membawa mereka kembali kepada pangkuan-Nya.

Tuaian banyak, tetapi sedikit pekerja

Tuhan Yesus berkata kepada mereka, para murid-Nya, bahawa tuaian memang banyak. Namun tidak cukup banyak pekerja yang dapat melakukan penuaian. Injil Matius 9:37. “Maka kata-Nya kepada murid-murid-Nya: “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit.”

Ibarat musim menuai yang hebat dengan biji padi yang banyak, tetapi tidak ramai pekerja yang siapsedia, sanggup serta mampu untuk menuainya.

Demikianlah juga, sudah begitu banyak orang yang datang dan mahu percaya kepada Dia yang perlu dilayani. Akan tetapi tidak banyak pelayan Tuhan yang siap melayani mereka. Tidak banyak para pelayan Tuhan yang siap, bersedia dan mahu memberitakan Firman Allah. Tidak banyak pekerja yang siap mengkhabarkan Injil Kerajaan Allah.

Seperti biji padi yang sudah siap dituai, sekiranya tidak segera dituai maka akan kering, busuk atau bahkan rosak sehingga menurunkan kualitinya. Demikian pula jiwa-jiwa yang datang kepada-Nya, jika tidak segera kita layani, maka iman kepercayaan mereka akan tergoyah. Oleh sebab itu, sangat diperlukan para pekerja di ladang Tuhan yang siap melayani Firman Tuhan dengan setulus hati dan segenap jiwa. Banyak pelayan Firman Tuhan yang siap bekerja diperlukan untuk menuai dengan baik, agar banyak jiwa diselamatkan.

Mintalah kepada tuan yang empunya tuaian

Oleh sebab itu, maka Tuhan Yesus mengingatkan mereka bahawa sesungguhnya tuaian itu banyak. Disebabkan itu, mintalah kepada tuan yang memiliki tuaian, supaya Ia mengirimkan pekerja-pekerja untuk melakukan penuaian. Berdoa dan mintalah kepada Allah Bapa supaya dikirimkan para pekerja di ladang Tuhan.

Dalam Matius 9:38. : “Kerana itu mintalah kepada tuan yang empunya tuaian, supaya Ia mengirimkan pekerja-pekerja untuk tuaian itu.”

Secara implisit, Tuhan Yesus mengingatkan para murid-Nya, agar mereka banyak berdoa dan memohon kepada Allah Bapa agar dikirimkan banyak pelayan Tuhan untuk mengkhabarkan Firman-Nya yang membawa sukacita dan damai sejahtera bagi mereka yang percaya kepada-Nya.

Berbahagialah kita

Berbahagialah kita yang sudah berdoa dan memohon kepada Allah Bapa yang memiliki tuaian, agar Allah Bapa agar mengirimkan para penuai dan banyak pelayan Tuhan untuk mengkhabarkan Firman-Nya, kerana Dia sudah melimpahkan kepada kita kasih setia dan kasih karunia-Nya yang tidak berkesudahan.

Berbahagialah kita yang sudah menyerahkan diri menjadi pekerja atau pelayan Tuhan untuk melayani lagi banyak orang yang rindu mendengarkan Firman-Nya, karena Dia sudah menyediakan upah besar bagi kita di Kerajaan Syurga.

Berbahagialah kita yang sudah siap dan mahu menjadi penuai bagi tuaian yang banyak serta harus dikerjakan dalam pelayanan pemberitaan Injil Kerajaan Syurga, kerana Dia sudah menyediakan bagi kita hidup kekal yang penuh sukacita dan damai sejahtera di Syurga. Amin.

Ditulis oleh: Misionari Ung Sing Ngiik
Scroll to top