
Saya masih ingat waktu Tuhan memanggil saya sebagai seorang misionaris. Saya sangat takut. Saya takut kerana saya bukan orang yang pandai bercakap. Saya takut kerana saya tidak pernah tinggal di rumah sendirian atau di luar negara. Saya juga takut kerana tidak tahu apa yang akan terjadi kepada saya di masa depan. Masa berlalu dengan begitu cepat, sudah tahun ke-7 saya berada di ladang pelayanan. Selama enam tahun inilah, saya lebih mengenal Tuhan saya, saya mengalami cinta dan karunia Tuhan dengan begitu banyak. Saya berubah menjadi seorang yang tidak takut tinggal di rumah sendirian, tahu cara mengatasiperasaan takut dengan nama Tuhan Yesus, dan sekarang saya juga suka berada di luar negara. Mari kita melihat Firman Tuhan dan bagaimana Firman Tuhan mengajarkan kita jika kita takut menerima panggilan Tuhan.
- Jangan takut menerima panggilan Tuhan kerana berasa berdosa dan tidak layak.
- Dalam Yesaya 6:5-7, Yesaya tahu dia seorang yang berdosa. Dia berkata,“Malanglah aku! Tiada harapan lagi bagi aku, kerana tiap-tiap perkataanku itu dosa, dan aku hidup di kalangan orang yang begitu juga. Namun dengan mataku sendiri, aku telah melihat Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa!” Kemudian salah satu makhluk itu terbang turun kepada Yesaya, membawa bara yang diambilnya dari mazbah dengan sepit. Dan menyentuh bibirnya dengan bara itu dan semua kesalahan Yesaya sudah dihapuskan dan dosanya sudah diampunkan. Selepas Yesaya menerima pengampunan daripada Tuhan, lalu dalam Yesaya 6:8-9, Tuhan pun bertanya siapa yang akan menjadi utusan Tuhan, dan Yesaya menjawab, “Inilah aku. Utuslah aku!” Lalu Yesaya pun disuruh memberikan perkhabaran dari Tuhan kepada umat-Nya. Dari Yesaya 6:5-9, kita tahu bahawa walaupun kita adalah orang yang teramat berdosa, Tuhan pun mengampuni dosa kita supaya menjadi suci semula. Kita sebagai anak Tuhan pun telah menerima pengampunan dari Tuhan melalui Yesus Kristus. Ketika kita bersatu dengan Kristus, kita menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula (2 Korintus 5:17). Jadi, saudara-saudari, jangan takut dengan memikir bahawa anda tidak layak dan berdosa. Semakin kita megenali kedalaman dosa kita, semakin kita tahu kasih karunia Tuhan yang begitu besar. Jadi, ingatlah kasih karunia Tuhan yang besar ini dan beranilah menerima panggilan Tuhan.
- Jangan takut menerima panggilan Tuhan kerana berasa terlalu muda.
Dalam Yeremia 1:6-8, Yeremia menjawab, “Ya TUHAN Raja, aku tidak pandai bercakap kerana aku masih terlalu muda.” Tetapi TUHAN menjawab, “Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda. Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi, dan beritahulah mereka segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu. Aku, TUHAN telah berfirman!” Terima kasih kepada Tuhan kerana Tuhan tidak pernah melihat umur kita. Walaupun Anda masih berasa terlalu muda, Anda juga boleh menerima panggilan Tuhan kerana Tuhan akan menyertai Anda dan melindungi Anda. Jangat takut. Dan dalam Yeremia 1:9-10, TUHAN menghulurkan tangan-Nya, menyentuh mulut Yeremia dan memberinya Firman Tuhan yang harus dia ucapkan. Bukan itu sahaja, Tuhan memberi Yeremia kuasa atas bangsa dan kerajaan untuk mencabut dan menjatuhkannya, untuk membinasakan dan menggulingkannya, untuk membina dan menegakkannya. Jadi, jika Tuhan memanggil Anda menjadi pelayan sepenuh waktu, beranilah menerima panggilan Tuhan kerana yang muda pun boleh dipakai oleh Tuhan untuk membuat sesuatu yang luar biasa.
Elijah Lamb, berumur 17, dari negara Amerika melihat bahawa golongan muda tidak lagi mengambil inisiatif untuk pergi ke gereja, jadi dia pun menggunakan media social popular seperti TikTok dan IG untuk menyebarkan injil dan menjadi terkenal dalam membantu orang muda mencari Yesus. Sekarang (11 April 2024), akaun Tiktoknya mempunyai 675K pengikut. Tuhan boleh memakai setiap orang yang bersedia menerima panggilan Tuhan, tidak kira usianya.
- Jangan takut menerima panggilan Tuhan kerana tidak tahu apa yang harus dikatakan.
- Dalam Yehezkiel 3, 1-3, Tuhan memberikan gulungan naskhah kepada Yehezkiel untuk makan, lalu memanggil Yehezkiel pergi dan bercakap Firman Tuhan kepada umat Israel.Tuhanlah yang memberi kita kata-kata yang harus diucapkan, dan yang terpenting adalah kita datang kepada Tuhan untuk mendapat hikmat dan kata-kata yang harus diucapkan saat kita menginjil. Setiap kali kita menginjil dan mengajar Alkitab, bukanlah kita yang bekerja sendiri tetapi Roh Kudus bersama dengan kita. Dia sentiasa memberikan kata-kata yang harus diucapkan dan kita juga harus belajar cara menginjil dan mengajar dengan lebih baik. Saya masih ingat pertama kali saya menginjil kepada pemuda-pemudi universiti dengan menggunakan Bahasa Thai. Saya biasa menginjil dengan jelas dan pemuda-pemudi faham apa yang saya mahu sampaikan. Jadi, bukan dengan kekuatan kita, tetapi Tuhan yang memberikan kekuatan dan kebijaksanaan kepada kita apa yang harus dikatakan. Selepas kita menyampaikan apa yang harus dikatakan, orang itu percaya atau tidak percaya, menerima Yesus Kristus atau tidak, itu terserah kepada dia dan terserah kepada Tuhan.
Sebagai kesimpulan jangan takut menerima panggilan Tuhan kerana berasa berdosa, terlalu muda dan tidak tahu apa yang harus dikatakan. Mari kita merendahkah diri dan berdoa kepada Tuhan supaya memberikan hikmat dan kekuatan untuk bersedia menerima panggilan Tuhan.
