
“Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.” (Matius 18:29-10)
Shalom, saudara dan saudari yang dikasihi Tuhan.
Sistem pendidikan negara Malaysia amat menitikberatkan kemahiran ‘Membaca, Menulis dan Mengira (3M), terutama untuk murid Tahun Satu, Dua dan Tiga. Kemahiran ‘3M’ ini sangat penting kerana ia akan menentukan tahap pembelajaran murid hingga peringkat seterusnya. Pembelajaran murid yang gagal menguasai kemahiran ini dikhuatiri akan terjejas selain akan meninggalkan kesan psikologi ke atas diri mereka antaranya tiada keyakinan diri.
Selain itu, kita juga boleh memperhatikan bahawa banyak produk yang digunakan oleh kita ada label ‘3M’. Apakah ‘3M’? ‘3M’ adalah sebuah syarikat sains global yang sentiasa mencipta inovasi. Dengan menggunakan 51 platform teknologi, pasukan saintis dan penyelidik yang bersepadu, serta bekerjasama dengan pelanggan untuk mencipta inovasi. Inovasi ini telah meningkatkan kehidupan seharian bagi ratusan juta orang di seluruh dunia. ‘3M’ beroperasi dalam pelbagai bidang termasuk industri, penjagaan kesihatan, keselamatan pekerja, dan barangan pengguna. 3M terkenal dengan inovasinya dan pelbagai produknya, termasuk perekat, perlindungan pasif daripada kebakaran, produk pergigian, bahan elektronik, produk perubatan, produk penjagaan kereta, dan banyak lagi.
Apa kaitannya ‘3M’ dengan pelayanan misi? Matius 28:19-20 juga dikenali sebagai perintah Agung Yesus untuk bermisi. Selepas Yesus bangkit daripada kematian, Yesus menampakkan diri kepada murid-Nya, seperti dicatatkan dalam Matius 28:16-17: “Kemudian, murid Yesus yang sebelas itu pergi ke Galilea, ke gunung yang telah ditetapkan oleh-Nya. Di sana mereka melihat-Nya lalu menyembah-Nya. Namun demikian, ada antara mereka yang ragu.” Oleh kerana murid-Nya yang masih meragu-ragu, Yesus menerangkan kekuasaan-Nya kepada mereka: “Yesus datang dan berkata kepada mereka, Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi.” (Matius 28:18)
Pada masa itu juga, Yesus mengumumkan perintah Agung-Nya, dan merintahkan murid-murid-Nya untuk meneruskan misi-Nya bagi menyempurnakan misi penyelamatan Tuhan. Apakah perintah Agung Yesus untuk bermisi?
1) M - Memuridkan (Matius 28:19a)
“Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Di sini, perkataan ‘pergilah’ merupakan satu tindakan.
Saudara dan saudari, adakah kalian perhatikan perintah Yesus, dimana Yesus menyuruh murid-murid-Nya pergi, tetapi Dia tidak memberitahu ke mana harus mereka pergi? Malahan Yesus memerintahkan mereka untuk pergilah dan jadikan semua bangsa murid Yesus. Ini kerana: “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.” (Yohanes 3:16).
Oleh itu, tidak kira dimana tempatnya kita pergi, tetapi sebelum memuridkan semua bangsa, mereka perlu ada peluang untuk mendengar firman Tuhan terlebih dahulu, seperti dinyatakan dalam Roma 10:14: “Jadi, bagaimana mereka dapat menyeru kepada-Nya sedangkan mereka tidak beriman kepada-Nya? Dan bagaimana mereka dapat beriman kepada-Nya sedangkan mereka tidak pernah mendengar tentang-Nya? Dan bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapa yang mengkhabarkan tentang-Nya?”
Saudara dan saudari, marilah kita menjadi murid Yesus yang gigih mengkhabarkan tentang-Nya (firman Tuhan) kepada mereka yang belum lagi mempercayai Yesus, termasuk ahli keluarga kita, rakan-rakan kita, bangsa kita, bangsa lain, warga asing dan sebagainya, agar mereka dapat mendengar tentang-Nya, beriman kepada-Nya, menyeru kepada-Nya, dan menjadi murid-Nya.
2) M - Membaptiskan (Matius 28:19b)
“Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Kenapa baptis itu penting kepada umat Kristian. Ini kerana Yesus sendiri juga dibaptiskan. (Markus 1:9) Selain itu, baptis juga bererti kita sudahpun meliputi dirimu dengan Kristus. (Galatia 3:27)
Mungkin anda akan bertanya: bukan pendeta sahaja yang layak untuk membaptis? Walaupun kita tidak memiliki kelayakan untuk membaptis, tetapi kita dapat memperkukuhkan iman mereka dengan firman Tuhan dalam proses pemuridan, lalu memimpin mereka untuk dibaptiskan, supaya mereka juga dapat meliputi diri mereka dengan Kristus.
3) M - Mengajarkan (Matius 28:20a)
“Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu.”
Oleh itu, bukan setakat untuk mengkhabarkan Firman Tuhan kepada mereka, memuridkan mereka, serta membaptiskan mereka semasa bermisi, tetapi kita harus meneruskan perjalanan iman ini bersama mereka, agar iman mereka dapat diteguhkan lagi dengan firman Tuhan dan terus bertumbuh, seperti dikatakan dalam Kolose 1:28: “Kristuslah yang kami ajarkan. Kami menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana, supaya dapat kami hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam Yesus Kristus.” Ayat ini menegaskan bahawa,’Kristuslah yang kami ajarkan’. Oleh itu, dalam penginjilan, kita perlu menegaskan tentang kematian Yesus di atas kayu salib demi seluruh bangsa, supaya kita dapat memperolehi kehidupan yang kekal; kebangkitan Yesus dari kematian untuk memberi pengharapan kepada seluruh bangsa, supaya kita lebih bersemangat dan positif.
Saudara dan saudari, bermisi adalah perintah Yesus kepada murid-Nya, termasuk saya dan anda. Ini bukan hanya perintah Yesus, tetapi juga janji Yesus, seperti dinyatakan dalam Matius 28:20b: “Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.” Tuhan tidak akan tinggalkan kita dalam segala pelayanan kita terlebih lagi semasa kita mengikuti perintah Tuhan dan bermisi kerana “Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya.” (Kisah Para Rasul 11:21)
Mungkin di kalangan anda, masih mempunyai kebimbangan untuk bermisi mahupun mengikuti misi jangka pendek, serta mengkhabarkan firman Tuhan kepada orang. Namun, saudara dan saudari, kita harus berterima kasih kepada Tuhan kerana Yesus sudah pun menjadi misionari yang pertama datang ke dunia ini, dan Dia sudah menjadi teladan kepada kita. Oleh kerana kasih Yesus, pengorban Dia di atas kayu salib, supaya kita dapat kehidupan yang kekal. Oleh kerana kasih-Nya, banyak misionari telah menjawab panggilan Tuhan dan mulai melayani di negara dimana firman Tuhan belum lagi dijangkau, serta ada yang terkorban nyawa mereka semasa bermisi. Kerana dedikasi mereka, pelayanan mereka, serta pengorbanan mereka, hari ini kita berpeluang mendengar firman Tuhan dan mempercayai kepada Yesus, serta memperolehi penyelamatan yang kekal. Mereka juga mengalami banyak cabaran dan penderitaan, tetapi mereka berpegang teguh dengan misi Yesus, mengalami penyertaan Tuhan dalam pelayanan mereka. Pelayanan mereka telah mempengaruhi banyak orang Kristian ingin mengabdikan diri untuk menjadi seorang misionari termasuk saya.
Panggilan Tuhan terhadap seseorang adalah dalam rancangan-Nya. Sekiranya Tuhan Yesus memanggil anda untuk menjadi seorang misionari dan bermisi di negara yang belum dijangkau, mahupun kepada bangsa yang belum dijangkau, jangan mengabaikan sentuhan Roh Kudus, jawab panggilan Tuhan dengan berani.
Saudara dan saudari, kita harus bermisi kerana ini adalah perintah Tuhan Yesus. Oleh itu, marilah sama-sama mengikuti perintah Yesus, mengkhabarkan firman Tuhan dan memuridkan semua bangsa, membaptiskan mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus, mengajarkan mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Yesus perintahkan kepada kita. Kita akan diberkati dengan penyertaan Tuhan sehingga akhir dunia.
